Hj Abdul Mulok di Makam Panglima Lidah Hitam (Moyangnya) pada tahun 1969

Dublin Core

Title

Hj Abdul Mulok di Makam Panglima Lidah Hitam (Moyangnya) pada tahun 1969

Subject

Pengasas Seni Silat Lintau Asli Malaysia

Description

Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Bagindo Panglima Zaharruddin Shah @ Zahiruddin Shah berasal dari Padang Pariaman, Minangkabau, Sumatera, Indonesia daripada susur galor Datok Bendaharo Sakti yang juga dari jajahan Datuak Parapatiah Nan Sabatang. Persilatan yang dibawa beliau dinamakan Silat Lintau kerana namanya berdasarkan nama tempat dimana Silat ini digabungkan antara 3 jenis persilatan terkenal iaitu Silat Harimau, Silat Sendeng dan Silat Starlak. Makanya, pada satu hari diadakan peraduan untuk menentukan persilatan mana dan ilmu pertahanan diri mana antara bertiga itu yang akan diwarisi oleh penuntut-penuntut dikemudian hari kelak. Panglima Lidah Hitam merupakan pengamal Silat Harimau dan juga merupakan seorang Panglima perang. Apabila sampai harinya maka mereka pun mempertunjukkan permainan mereka masing-masing. Akhirnya tidaklah ada yang menang atau kalah antara mereka. Ini kerana masing-masing handal dengan permainan mereka sendiri. Ketiga-tiga mereka yang mengajar permainan dengan nama Harimau, Sendeng, dan Starlak pun pergilah berjumpa dengan seorang ahli agama yang menjadi penasihat Sultan Minangkabau ketika itu. Maka disuruh mereka oleh ahli agama tersebut dengan menggunakan kepakaran mereka untuk mengabungkan permainan Harimau, Starlak dan Sendeng maka jadilah satu permainan yang mantap tak bernama. Ahli agama tersebut memilih Panglima Lidah Hitam sebagai ketua mereka bertiga disebabkan ilmu agamanya yang tinggi dan juga kerana beliau berketurunan darah Raja. Gabungan persilatan tersebut dinamakan Silat Lintau berdasarkan nama tempat dimana peraduan tersebut diadakan dan disyorkan oleh ahli agama tersebut.



Menurut sejarah, beliau adalah orang pertama memperkenalkan Silat Lintau di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan haji, beliau bercadang untuk singgah di Melaka. Belumpun sempat mereka sampai di pelabuhan melaka kapal mereka telah diserang lanun dan mereka semua pun berpakat terjun kelaut berenang ke pantai melaka kerana kapal haji tidak membawa senjata. Disebabkan cuaca buruk, beliau tinggal agak lama di Melaka sementara menanti perubahan musim angin yang lebih baik sebelum meneruskan pelayaran. Di kawasan Melaka, beliau bertemu dengan Orang Kaya Kulub (Orang Kaya Bauk) yang memerintah dari Kuala Kesang hingga ke Sg Sarang Buaya. Orang Kaya Bauk meminta pertolongannya mengajar seni silat Lintau kepada anak muda di kawasan itu kerana kemahiran beliau dalam seni mempertahankan diri. Secara kebetulan, pada masa itu lanun bermaharajalela di Selat Melaka. Orang Kaya Bauk meminta bantuan Panglima Lidah Hitam untuk menghapuskan ancaman lanun yang dikatakan mengganggu aktiviti penduduk setempat. Setelah lanun-lanun berjaya di hapuskan dengan bantuan penduduk setempat yang telah mempelajari Silat Lintau daripada beliau, beliau diberi kuasa untuk menjaga keselamatan dari Kuala Kesang kini Tanjung Emas hingga ke Sungai Sarang Buaya di Sungai Muar.



Pada suatu hari Baginda Tengku Zahirruddin Syah pergi memancing dengan dua orang sahabatnya tanpa membawa senjata. Akan tetapi, Saki baki lanun telah menyerang beliau tetapi gagal mengalahkannya lalu lanun tersebut memecahkan perahu kecil beliau dengan membaling tombak hingga perahunya pecah dan terbalik. Kebetulan ribut datang pula pada waktu itu dan Baginda Tuanku Zaharruddin Syah dan seorang rakannya telah hanyut dan lemas manakala seorang sahabatnya sempat berpaut pada serpihan sampan tersebut dan sampai di persisiran pantai Muar.



Ditakdirkan Allah pada waktu itu datanglah Orang Kaya Chekas bersama-sama dengan orang-orang pelarian dari Melaka membuka kampong bernama Padang di Muar (kini Kampung Parit Sakai Jalan Junit). Seminggu selepas itu Orang Kaya Chekas bersama-sama dengan orang-orang kampung pergi ke Kuala Sungai Muar untuk meninjau-ninjau, dengan tidak disangka-sangka mereka ternampak dua mayat yang terapung-apung di permukaan air, kedua-dua mayat mengikut pasang surut air laut iaitu apabila air pasang mayat itu naik ketepi dan apabila air surut mayat itu turun ke laut dan tiada terdampar di pantai seperti sebagaimana biasa, memandangkah hari sudah gelap dan kawasan itu berlumpur maka Orang Kaya Chekas mengambil keputusan akan mengambil mayat-mayat itu besoknya.



Keesokan harinya, barulah penduduk kampung datang mengambil mayat terbabit ke darat. Satu daripada mayat itu mempunyai lidah yang panjang berwarna hitam dan berbulu. Anehnya mayat ini tidak busuk dan reput walaupun sudah beberapa lama berada di dalam laut. Jenazah berlidah hitam itu dimakamkan di tepi Parit Sakai. Difahamkan, selepas dimakamkan, satu perkara ganjil berlaku pada keesokannya. Penduduk mendakwa satu tumbuhan batu timbul di atas kedudukan kepala makam berkenaan yang berbentuk lidah dan berwarna hitam cerah. Sebelum ini, penduduk dikatakan meletakkan batu nisan kayu di kepala makam tetapi dilaporkan hilang dan tumbuh pula batu di tempat sama. Apabila malam bulan purnama, batu itu akan bertukar warna menjadi hitam pekat. Disebabkan keganjilan yang berlaku di makam itu, ia dianggap keramat oleh penduduk dan dipanggil “Keramat Lidah Hitam”. Penduduk dikatakan membalut kain kuning pada batu yang berbentuk lidah itu sebagai menghormati sumbangannya kepada penduduk setempat dalam mengekalkan keamanan.



Setelah beberapa tahun di perkampungan Baginda Tengku Zahiruddin, Datuk Panglima Alang Laut, cucu kepada Panglima Lidah hitam menerima amanat Silat Lintau pada 1876 dan juga cuba mencari akan Panglima Zaharruddin tetapi tidak berjumpa, maka ia pun berpesan pada cucunya yang agak ganjil juga iaitu Abdul Mulok yang baru berusia 14 tahun(mempunyai lidah hitam) untuk datang ke Malaya, untuk mencari dan mendengar khabar dimanakah moyangnya Panglima Bagindo Zaharruddin Syah berada (makamnya).



Abdul Mulok B Sutan Idham@Ibrahim lahir pada 10/8/1903 di Tiku, Pariaman . Semasa ia dilahirkan ibunya Sabariah meninggal dunia , maka ia di pelihara oleh datuknya, Datuk Panglima Alang Laut sehinggalah dewasa. Abdul Mulok diasuh dengan permainan silat Lintau, selain daripada mengaji Quran dan belajar agama oleh datuknya. Abdul Mulok menerima amanat pada hari Khamis 16 Maulud (Rabiulawal) 1916. Dengan kelebihan semulajadi pemberian Allah Taala, Abdul Mulok belajar Silat Lintau daripada datuknya selama 7 hari sahaja walaupun tubuhnya kecil iaitu 4kaki 10in. Beliau telah mula mengembangkan Silat Lintau di Tanah Melayu pada tahun 1930 dan tersebarlah Silat Lintau ini di Malaya. Disebabkan ramai juga muridnya yang ada di negeri Melaka , mereka terdengar cerita terdapat satu makam dengan panggilan penduduk setempat sebagai Keramat Lidah Hitam, Apabila berita itu sampai ke pengetahuan beliau, beliaupun bersiap ke Melaka dan terus ke Muar untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi. Dengan alamat-alamat yang dapat pada Abdul Mulok serta cerita-cerita daripada penduduk setempat dia yakin itulah makam moyangnya yang selama ini di wasiatkan oleh datuknya untuk mencari dan disahkan oleh keturunan yang manjaga makam tersebut. Maka menangislah Abdul Mulok di tepi makam tersebut kerana terlalu gembira. Beliau berkata moyangnya tidak keramat, hanya manusia biasa sahaja. Maka makam tersebut tidak dipanggil keramat lagi tetapi dipanggi Makam Panglima Lidah Hitam dan nama sebenarnya iaitu Bagindo Zahirruddin Syah dan dia juga yang membawa silat Lintau ke Malaya .

Creator

PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU ASLI MALAYSIA

Source

SEJARAH | lintauasli. (n.d.). Lintauasli. https://lintauasli.wixsite.com/lintauasli/sejarah

Publisher

PERTUBUHAN SENI SILAT LINTAU ASLI MALAYSIA